
Pink October Health Screening at UniKL MIAT Sepang
November 13, 2025
Minda Sihat Untuk Semua: Memahami, Mencegah dan Memperkukuh Kesihatan Mental
January 8, 2026PROGRAM MENTAL HEALTH BERSAMA MAIM - MINDA SIHAT UNTUK SEMUA

Program “Mental Health: Minda Sihat Untuk Semua” telah diadakan pada 19 November 2025 bertempat di Bilik Kuliah, Masjid Al-Azim, Melaka. Program ini bermula dengan pendaftaran peserta pada jam 8.30 pagi dan berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Ia dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dengan kerjasama Badan Sukarelawan At-Taqwa. Seramai 28 peserta menghadiri program ini, dan sesi ceramah telah disampaikan oleh Dr. Adib ‘Afifi Abdul Rahim, Doktor Residen dari Medipulih Klinik Ayer Keroh.


Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kesihatan mental serta memberi pendedahan berkenaan isu-isu yang sering berlaku dalam komuniti seperti kemurungan (depression), keresahan (anxiety), dan bipolar. Selain itu, peserta turut diberi penerangan berkaitan stress, burnout, dan teknik-teknik relaksasi yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian. Program dimulakan dengan ucapan aluan dan pengenalan penceramah, diikuti ceramah serta perkongsian berkaitan topik kesihatan mental dan penyakit mental lazim. Seterusnya, peserta terlibat dalam sesi perbincangan situasi dan soal jawab yang berlangsung secara interaktif dan mendapat sambutan baik.


Selepas sesi ceramah, para peserta menjalani saringan kesihatan mental menggunakan Ujian DASS bagi mengenal pasti tahap tekanan (stress), kemurungan (depression), dan keresahan (anxiety). Program diteruskan dengan sesi konsultasi ringkas bersama penceramah bagi memberi ruang kepada peserta untuk mendapatkan pandangan profesional mengenai isu yang mereka hadapi. Keseluruhan program berjalan dengan lancar dan menerima maklum balas positif daripada para peserta.


Program ini mendapati bahawa peserta lebih memahami tanda-tanda awal masalah mental serta cara menguruskan tekanan dengan lebih berkesan. Ramai yang memberikan respon positif terhadap teknik relaksasi yang diajarkan kerana mudah diamalkan. Saringan DASS turut membantu mengenal pasti peserta yang memerlukan sesi konsultasi lanjut. Berdasarkan pelaksanaan program, beberapa cadangan penambahbaikan dikemukakan seperti menambah slot latihan praktikal teknik relaksasi, melanjutkan tempoh sesi konsultasi, menyediakan program lanjutan berkaitan pengurusan stress dan kesihatan mental, serta menyediakan bahan rujukan seperti booklet atau infografik untuk peserta.
Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai objektifnya dalam meningkatkan pengetahuan dan kesedaran peserta mengenai kepentingan menjaga kesihatan mental. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan dan diperluas bagi memberi manfaat kepada lebih ramai anggota masyarakat.



